Feeds:
Posts
Comments

Archive for April, 2009

Kebiasaannya, selepas solat maghrib berjemaah di prayer’s room university, akan ada sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Dr Kannan, seorang brother yang berasal dari Syria – beliau sudah bekerja dan berkahwin di sini. Kadang-kadang ada juga brothers lain, termasuk student Melayu yang memberanikan diri memberi tazkirah. Caranya mudah sahaja – ambil kitab Riadhus Solihin, baca satu bab dan kemudian syarahkan apa yg difahami.

Cumanya, saya agak tertarik dengan kata-kata beliau(Dr Kannan) sejak beberapa hari lalu, iaitu: ” ..our deen has been changed, from the deen of musyahadah, to the deen of mutola’ah..”

Deen of “musyahadah” ertinya agama yang disaksikan/dilihat(pada penganutnya), sedangkan deen of “mutola’ah” ertinya agama yang dibaca(pada buku/leaflet).

Inilah tragedi yang melanda umat Islam pada hari ini. Jika pada zaman Rasulullah dan sahabat, Islam itu ada pada diri mereka – keperibadian, cara berpakaian, cara bermuamalah, percakapan. Dalam sebuah hadith, apabila Aisyah r.a. ditanya tentang akhlak Nabi, maka dijawabnya akhlak Nabi ialah Al-Quran. Begitulah yang disaksikan juga pada generasi awal umat ini sehinggakan Syed Qutb menyebutkan mereka sebagai “generasi al-quran yang unik” -manusia yang dicetak Al-quran pada diri mereka sendiri.

Kota Madinah al-munawwarah begitu bercahaya dengan kilauan iman dan akhlak penduduknya yang ditarbiyah oleh Nabi. Kalau dari segi taatnya, turun saja ayat Al-Quran terus diamalkan tanpa bertangguh. Sehinggakan apabila ayat pengharaman arak diturunkan, banjirlah sekeliling kota dengan air arak yang dipecahkan tempayannya. Kalau dari segi ukhuwwahnya, sudah sampai ke puncaknya- yakni ithar. Apabila seorang jiran menerima kepala kambing(bahagian yang paling disukai) daripada jiran yang lain, pemberian itu diberi pula kepada jiran yang lain, sehinggakan kepala kambing itu akhirnya kembali kepada si pemilik asal. Melihat akhlak orang Islam sahaja, yang bukan Islam tertarik untuk menganut islam.

Ini semua bukan cerita dongeng. Ia telah tercatat dalam sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Malangnya, kini apabila ada orang bukan Islam mahu tahu tentang Islam, kita terpaksa memberi mereka Quran terjemahan, leaflet dan cd tentang Islam. Ambil, dan bacalah sendiri – inilah dia yang dikatakan “deen of mutola’ah”.

Itukah dakwah yang difahami oleh kita?                                                                                                                                                                Di manakah generasi Al-Quran yang menjadi “leaflet bergerak” suatu masa dahulu?

Bukanlah suatu yang mustahil untuk mengembalikan generasi itu, kerana Al-Quran masih terjaga, dan sunnah Nabi ada dicatat. Yang kita perlukan ialah proses tarbiyah mengikut manhaj yang benar, seperti yang dilalui oleh para sahabat.

“Generasi terakhir ummah ini tidak akan berubah kecuali dengan cara yang digunakan bagi mengubah generasi awal.” -Imam Hasan al-Banna (Antara Semalam Dan Hari Ini)

Read Full Post »