Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Tokoh -tokoh Islam’ Category

Hari ini, tanggal 12 Februari tahun 2009 genaplah sudah 60 tahun pemergian Imam As-Syahid Hasan Al-Banna (ISHAB), seorang tokoh besar bagi umat Islam dan manusia seluruhnya.

Saya cuba mengimbau kembali pengalaman saya berkenalan dengan nama besar ini.

Seingat saya, kali pertama saya mendengar nama ISHAB disebut ialah sewaktu di Tingkatan 4 dahulu. Kalau tak silap, surau kami di asrama putera MOZAC telah diberi nama Madrasah Hasan al-Banna oleh senior-senior kami. Wah, dahsyat sungguh senior kami tu – mengambil kira pemahaman saya sekarang ini terhadap maksud “madrasah Hasan al-Banna”.

Namun, saya hanya mengenali ISHAB dengan lebih mendalam ketika mula mengikuti “usrah seposen dua posen” di kolej A-Level. Sehari demi sehari saya dan teman-teman seusrah difahamkan tentang apa itu usrah dan sejarahnya oleh sang  naqib. Sehinggalah di dalam satu program, kami diperkenalkan secara terperinci tentang ISHAB, melalui sebuah buku ringkas yang diterbitkan oleh The Islamic Foundation & FOSIS berjudul “Letter to a Muslim Student in the West”.

pc230055

Tak sangka saya boleh jumpa balik buku ni dekat surau universiti

Kupasan yang menarik oleh si penyampai (bekas ikhwah MSM UK-Eire, tapi saya sudah lupa namanya…), membuatkan saya sangat teruja kepada ISHAB. Saya kagum pada ketekunan beliau dalam meng’islah’ umat Islam yang ketika itu sedang celaru seperti anak ayam kehilangan ibu akibat kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah pada 1924. Sebenarnya, lama sebelum itu lagi, umat Islam sudah pun kehilangan identiti mereka, baik dari segi berpakaian, berhibur, dan berfikir(akidah).

ISHAB memerhatikan keadaan umat, mendalami kitab-kitab, mengkaji sirah Nabi s.a.w. dan kemudiannya beliau mengambil manhaj yang diguna oleh nabi dalam usaha dakwahnya. Bermula dengan seorang diri, gerakan dakwah beliau terus berkembang dengan penyertaan individu-individu yang telah tersedar. Melihat kepada besarnya tugas dakwah dan keperluan bekerja secara berjemaah, maka beliau dan 6 rakannya menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin(J-IM) pada bulan Mac 1928.

Saya kagum lagi apabila diberitahu tentang kejayaan IM yang berkembang begitu cepat. Muham­mad Syauqi Zaki mencatatkan:

“Di Mesir saja, jumlah anggota Ikhwan yang betul-betul bergiat (aktif) menjangkau angka setengah juta (500,000) orang. Jumlah penyokong dan pembantu pula melebihi setengah juta orang. Terdapat dua ribu cawangan di Mesir dan lima puluh cawangan di Sudan. Banyak lagi cawangan dibuka di negara-negara Arab yang lain.”

Maka barulah saya faham mengapa kaum wanita kita pada tahun 50-an dan 60-an dahulu tidak bertudung (seperti yang boleh dilihat dalam filem dan gambar lama), tetapi keadaannya kini berubah. Ia adalah hasil penyebaran fikrah IM yang begitu meluas ke seluruh dunia Islam.

Satu yang menarik tentang ISHAB ialah beliau tidak menulis kitab-kitab yang tebal sebaliknya sekadar risalah-risalah pendek tetapi padat yang kemudiannya dihimpunkan menjadi Majmu’ Rasail. Apa yang lebih penting ialah beliau mencetak individu-individu Muslim sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap sahabat-sahabat baginda.


pc230046

Fikrah IM tersebar begitu meluas, hampir semua gerakan Islam pada hari ini mengambil manfaat daripadanya

Kini, sudah hampir 4 tahun setengah saya berusrah(belum ditolak beberapa waktu menghilangkan diri..). Murobbi/naqib juga sudah banyak kali bertukar. Tetapi sungguh jauh rasanya diri ini jika mahu dibandingkan dengan usaha yang telah ISHAB lakukan.

Ketika diminta untuk memperkenalkan diri oleh seorang wartawan, ISHAB berkata:

“Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati,merdeka,tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.

Inilah saya, anda pula siapa?”

Saya bertanya kepada diri sendiri, siapa pula saya?

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya).” (Al-Ahzab, 33:23)


Read Full Post »