Feeds:
Posts
Comments

Kita Bukan malaikat..!

Jaga-jaga dari takabbur dan taajub dengan kerja dan cara kerja kita.
hasil adalah dari Allah .. bukan hasil tangan kita..w/pun nampak hasil kejayaan kerja kita.
syaitan akan datang untuk merosak amal kita. jika tidak ia akan datang untuk merosak pahala kita.
kita cuba yang terbaik. kita mungkin dapat mengikut jalan yang terbaik .. tapi mungkin kita tidak mendapat pahala terbaik !
ketika kita mendapat hasil dari kerja tangan kita, kita mula merasai kita adalah terbaik. mata mula tertutup untuk melihat hasil kerja orang lain.
Betapa mudah syaitan menyia-nyiakan pahala amalan kita…
Betapa banyak orang yang hasil kerja tangan mereka kurang, tapi mereka
mendapat pahala yang lebih banyak dari kita kerana keikhlasan mereka dan
rasa tunduk mereka terhadap lemahnya diri mereka. Mereka merasai tidak
mencapai lagi tahap yang dicapai oleh orang lain yang kelihatan hebat.

Di mana tahap kita? berjaya mendidik dan mentarbiyyah ramai manusia, tajmik yang berjaya? tapi apakah kita memandang kitalah yang terbaik?
Pandangnya kita terhadap diri kita bahawa kita adalah terbaik, itulah tanda kita adalah tidak terbaik pada diri kita, w/pun amalan kita memberikan hasil terbaik.

Jadi …
jaga-jaga .. jangan pahala kita tidak sepadan dengan hasil tajmik, dakwah dan tarbiyyah yang kita lakukan.. pahala menjadi kecil atau langsung hilang sedangkan kita sepatutnya berhak mendapat pahala terbaik. hanya kerana pandangnya kita terhadap hebat diri kita, dan tidak hebatnya orang lain.

Seruan ini bukan untuk mengajak kita semua mengurangkan kerja yang kita
lakukan… tapi untuk membersihkan kita dari penyelewengan yang mungkin
berlaku ketika kita gembira melihat hasil.
Ayuh maju lebih kuat bekerja… dan lebih berjaga-jaga dengan diri yang
sentiasa diintai oleh syaitan di dalam urat-urat diri kita…

Dipetik daripada  http://muntalaq.wordpress.com/

Advertisements

Saya dan Hasan al-Banna

Hari ini, tanggal 12 Februari tahun 2009 genaplah sudah 60 tahun pemergian Imam As-Syahid Hasan Al-Banna (ISHAB), seorang tokoh besar bagi umat Islam dan manusia seluruhnya.

Saya cuba mengimbau kembali pengalaman saya berkenalan dengan nama besar ini.

Seingat saya, kali pertama saya mendengar nama ISHAB disebut ialah sewaktu di Tingkatan 4 dahulu. Kalau tak silap, surau kami di asrama putera MOZAC telah diberi nama Madrasah Hasan al-Banna oleh senior-senior kami. Wah, dahsyat sungguh senior kami tu – mengambil kira pemahaman saya sekarang ini terhadap maksud “madrasah Hasan al-Banna”.

Namun, saya hanya mengenali ISHAB dengan lebih mendalam ketika mula mengikuti “usrah seposen dua posen” di kolej A-Level. Sehari demi sehari saya dan teman-teman seusrah difahamkan tentang apa itu usrah dan sejarahnya oleh sang  naqib. Sehinggalah di dalam satu program, kami diperkenalkan secara terperinci tentang ISHAB, melalui sebuah buku ringkas yang diterbitkan oleh The Islamic Foundation & FOSIS berjudul “Letter to a Muslim Student in the West”.

pc230055

Tak sangka saya boleh jumpa balik buku ni dekat surau universiti

Kupasan yang menarik oleh si penyampai (bekas ikhwah MSM UK-Eire, tapi saya sudah lupa namanya…), membuatkan saya sangat teruja kepada ISHAB. Saya kagum pada ketekunan beliau dalam meng’islah’ umat Islam yang ketika itu sedang celaru seperti anak ayam kehilangan ibu akibat kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah pada 1924. Sebenarnya, lama sebelum itu lagi, umat Islam sudah pun kehilangan identiti mereka, baik dari segi berpakaian, berhibur, dan berfikir(akidah).

ISHAB memerhatikan keadaan umat, mendalami kitab-kitab, mengkaji sirah Nabi s.a.w. dan kemudiannya beliau mengambil manhaj yang diguna oleh nabi dalam usaha dakwahnya. Bermula dengan seorang diri, gerakan dakwah beliau terus berkembang dengan penyertaan individu-individu yang telah tersedar. Melihat kepada besarnya tugas dakwah dan keperluan bekerja secara berjemaah, maka beliau dan 6 rakannya menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin(J-IM) pada bulan Mac 1928.

Saya kagum lagi apabila diberitahu tentang kejayaan IM yang berkembang begitu cepat. Muham­mad Syauqi Zaki mencatatkan:

“Di Mesir saja, jumlah anggota Ikhwan yang betul-betul bergiat (aktif) menjangkau angka setengah juta (500,000) orang. Jumlah penyokong dan pembantu pula melebihi setengah juta orang. Terdapat dua ribu cawangan di Mesir dan lima puluh cawangan di Sudan. Banyak lagi cawangan dibuka di negara-negara Arab yang lain.”

Maka barulah saya faham mengapa kaum wanita kita pada tahun 50-an dan 60-an dahulu tidak bertudung (seperti yang boleh dilihat dalam filem dan gambar lama), tetapi keadaannya kini berubah. Ia adalah hasil penyebaran fikrah IM yang begitu meluas ke seluruh dunia Islam.

Satu yang menarik tentang ISHAB ialah beliau tidak menulis kitab-kitab yang tebal sebaliknya sekadar risalah-risalah pendek tetapi padat yang kemudiannya dihimpunkan menjadi Majmu’ Rasail. Apa yang lebih penting ialah beliau mencetak individu-individu Muslim sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap sahabat-sahabat baginda.


pc230046

Fikrah IM tersebar begitu meluas, hampir semua gerakan Islam pada hari ini mengambil manfaat daripadanya

Kini, sudah hampir 4 tahun setengah saya berusrah(belum ditolak beberapa waktu menghilangkan diri..). Murobbi/naqib juga sudah banyak kali bertukar. Tetapi sungguh jauh rasanya diri ini jika mahu dibandingkan dengan usaha yang telah ISHAB lakukan.

Ketika diminta untuk memperkenalkan diri oleh seorang wartawan, ISHAB berkata:

“Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati,merdeka,tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.

Inilah saya, anda pula siapa?”

Saya bertanya kepada diri sendiri, siapa pula saya?

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya).” (Al-Ahzab, 33:23)


msm

sila klik pada imej untuk versi lebih jelas

Tarbiyyah Melawan Nafsu

Suatu masa dahulu saya cukup kritikal apabila ada penceramah atau kawan-kawan yang mengatakan “jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu”. Bagi saya, kata-kata itu tidak lebih sekadar alasan untuk memperkecil-kecilkan  usaha dakwah yang mereka malas nak buat. Justeru, kata-kata tersebut yang didakwa sebagai hadith Nabi menjadi hujah bahawa kita perlu “menjadi baik” terlebih dahulu sebelum bergiat di lapangan dakwah, apalagi mahu berjihad melawan musuh Allah.

buku-nafsu1

Kata-kata tersebut bukanlah hadith sahih daripada Nabi, seperti mana yang dikomentar oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam Majmu’ Fatawanya.      Ia merupakan kata-kata salaf yang berbunyi “kita kembali dari jihad terkecil (perang melawan orang kafir) menuju jihad terbesar, yakni jihad melawan    hawa nafsu.”

Namun, kini  saya merasakan yang kata-kata tersebut ada kebenaran maknanya  sekalipun mereka  yang mengungkapkannya mungkin mempunyai niat yang berbeza-beza. Saya bukanlah seorang daie besar ataupun akh yang mantap, tetapi pengalaman sehari dua berada di atas  jalan tarbiyyah dan usrah telah membuktikan bahawa nafsu merupakan problem terbesar yang perlu dihadapi  selepas syaitan. Jika Allah menyebutkan dengan jelas tentang ancaman syaitan  dan kewajipan perlawanan menentangnya (35:6), begitu juga akan nafsu sepertimana firman-Nya:

ayat-nafsu-last2

“Sudahkah engkau(Muhammad) melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?” (Al-Furqan,25:43)

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf, 12:53)

Nafsulah yang menjauhkan diri seseorang daripada berdakwah, menjadi pembantu agama Allah(ansorullah), malah untuk “menjadi baik” sekalipun. Nafsu merupakan penghalang utama. Sebab apa kita tidak mahu ikut usrah? Adakah sebab usrah itu tidak betul? Atau adakah sebab kita bimbang kalau ikut usrah nanti kena tinggalkan main game, layan movie, bercouple dan duduk rileks kat bilik? Bukankah nafsu kepada kehidupan jahiliyah  ini yang mengunci hati kita daripada berubah?

Bagi mereka yang sudah berada di atas jalan tarbiyyah dan dakwah, nafsu tetap perlu diawasi. Jangan sampai kita buat sesuatu aktiviti dakwah mengikut selera sendiri. Antara tanda-tandanya ialah memilih-milih program yang mahu disertai dan  suka invent program sendiri sedangkan tugas yang diamanahkan kepadanya tidak siap-siap. Perkara ini begitu sulit disedari, kerana ianya bukan objek 3-D yang boleh dilihat dan dipegang. Ia tersembunyi di dalam diri, mengalir bersama darah dan denyut nadi kita. Bukan mudah untuk membanterasnya. Sentiasalah muhasabah diri antum dan ingat-mengingatkan. Justeru dalam hadith ke-41 Matan Arbain, Rasulullah menyebut:

hadith-nafsu1

“Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa

Di sini terletaknya kepentingan tarbiyyah menundukkan hawa nafsu sebelum menjadi ansorullah. Tidak timbul persoalan orang yang sibuk buat tarbiyyah akan mengabaikan dakwah kepada masyarakat… Disebabkan  tarbiyyah itu sendirilah yang  membuang halangan (nafsu) dalam diri seseorang untuk berdakwah. Saya teringat kata-kata seorang ustaz, “tarbiyyah  menyiapkan diri kita untuk menjadi ansorullah”.

Marilah kita sama-sama muhasabah diri – selama kita berada di jalan tarbiyyah dan dakwah ini, sejauh mana kita telah berjaya menundukkan nafsu kita? Bermujahadahlah memerangi hawa nafsu kita. Jangan pandang remeh, ia syarat ke syurga!

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (An-Naziat, 79:40-41)

Bagi mereka yang masih belum mengikuti usrah, marilah bersama-sama mengikuti sistem tarbiyyah ini. Carilah murobbi/naqib di tempat anda.

Tarbiyyah bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.

Alhamdulillah, paper terakhir untuk semester satu – Control Systems Design telah selamat dijawab semalam. Masih tinggal beberapa hari lagi sebelum semester dua bermula minggu depan. Terasa dada ini begitu lapang sekali selepas berminggu-minggu diselubungi dengan persoalan “aduh…tak study lagi nih..”.

Tentu ramai di kalangan kita yang sangat cemas bila berhadapan dengan exam. Kita rasa seolah-olah di dalam dunia ini kitalah orang yang paling sibuk mengejar masa. Minggu exam terasa bagai berada di zon perang – masa makan kena limit, tidur ala kadar, tak buka email, tak jawab telefon, dan ada yang sampai tak mahu ke masjid untuk solat berjemaah – takut nanti perjalanan pergi dan balik masjid akan membuang masa-masa berharga untuk study.

boystudy

Begitu jugalah dengan program-program dakwah dan tarbiyyah. Hampir semuanya ditangguhkan sementara waktu. Dauroh, jaulah, mukhayyam tidak boleh diadakan pada waktu ini. Usrah pun mahu dijadikan mangsa. Jika sebelum ini, usrah selama empat jam, musim exam sudah diqasar kepada satu atau dua jam.

Akhirnya, saya terfikir – musim exam yang baru berakhir ini, saya bersibuk atau berehat sebenarnya? Jika saya rasa saya sibuk, boleh jadi saya akan berehat selepas ini. Jika saya rasa saya berehat, maka sekarang masanya untuk kembali sibuk !

Semoga diri ini termasuk dalam kalangan mereka yang membantu agama Allah, agar nanti layak beroleh pertolongan dari-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong(agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (47:7)

Ghazwah Hunain terjadi pada tanggal 10 Syawal tahun 8 Hijrah , iaitu beberapa hari selepas pembukaan Mekah (20 Ramadhan,8 Hijrah). Sebabnya ialah rasa cemas dan takut pemimpin-pemimpin Hawazin dan Thaqif melihat kejatuhan Mekah ke tangan Rasulullah SAW. Selepas Quraisy di Mekah, sudah pasti mereka target Rasulullah seterusnya, fikir mereka. Atas sangkaan inilah, maka mereka bersiap-siap untuk menyerang Rasulullah dan kaum Muslimin terlebih dahulu. Malik Bin Auf, pemimpin Hawazin telah diangkat sebagai panglima perang, dengan kira-kira 20 000 orang tentera.

Rasulullah yang mendapat tahu hal ini telah keluar dari Mekah untuk memerangi mereka. Bersama baginda ialah 12 000 kaum Muslimin, terdiri daripada kira-kira 10 000 sahabat yang menyertai Fathul Mekah, dan 2000 “muallaf” warga Mekah yang baru masuk Islam. Namun, sampai di Wadi Hunain, mereka diserang hendap dalam kesuraman Subuh oleh tentera musuh, menyebabkan pasukan tentera Muslimin hilang arah dan bercerai-berai.Kebanyakan mereka lari meninggalkan Rasulullah pada saat-saat genting tersebut, hingga Nabi terpaksa memanggil mereka kembali dengan kata-katanya yang cukup mengharukan:

“Aku Nabi. Aku tidak berdusta. Aku anak(keturunan) Abdul Mutalib.”

Ada riwayat lain menyebut:

“Aku Rasulullah”.

Tatkala itu, beberapa sahabat kembali mengelilingi Nabi dan meneruskan jihad bersama-samanya.Jumlah mereka dikatakan lebih kurang 100 orang. Akhirnya, kemenangan kembali berpihak kepada kaum Muslimin dan musuh melarikan diri.

Medan Hunain ini telah memberikan pengajaran yang banyak kepada kaum Muslimin.Betapa jumlah mereka yang ramai itu (12000) tidak mampu menghadirkan sebuah kemenangan. Ada di kalangan mereka yang berasa megah dengan bilangan yang ramai, ada pula muallaf yang masih menyimpan rasa benci terhadap Islam dan ikut berperang dengan jiwa terpaksa. Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 25-26 yang bermaksud:

‰

“25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

26. kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.”

Oleh itu, kita tidak sepatutnya berasa senang dan lega apabila ahli telah ramai, kerana jika kekuatan roh dan spiritual tidak ada, kita sebenarnya hanya mengumpulkan angka-angka kosong yang apabila ditambah mahupun didarab, jumlahnya ialah sifar. Dari sudut yang lain, jangan kita sesekali berasa lemah mahupun gelisah apabila ahli kita sedikit. Pastikan diri kita beriman, kerana di situ akan ada jalan.Bukankah dakwah ini bermula dengan seorang?

“..Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.(2:249)