Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Sirah Rasulullah’ Category

Ghazwah Hunain terjadi pada tanggal 10 Syawal tahun 8 Hijrah , iaitu beberapa hari selepas pembukaan Mekah (20 Ramadhan,8 Hijrah). Sebabnya ialah rasa cemas dan takut pemimpin-pemimpin Hawazin dan Thaqif melihat kejatuhan Mekah ke tangan Rasulullah SAW. Selepas Quraisy di Mekah, sudah pasti mereka target Rasulullah seterusnya, fikir mereka. Atas sangkaan inilah, maka mereka bersiap-siap untuk menyerang Rasulullah dan kaum Muslimin terlebih dahulu. Malik Bin Auf, pemimpin Hawazin telah diangkat sebagai panglima perang, dengan kira-kira 20 000 orang tentera.

Rasulullah yang mendapat tahu hal ini telah keluar dari Mekah untuk memerangi mereka. Bersama baginda ialah 12 000 kaum Muslimin, terdiri daripada kira-kira 10 000 sahabat yang menyertai Fathul Mekah, dan 2000 “muallaf” warga Mekah yang baru masuk Islam. Namun, sampai di Wadi Hunain, mereka diserang hendap dalam kesuraman Subuh oleh tentera musuh, menyebabkan pasukan tentera Muslimin hilang arah dan bercerai-berai.Kebanyakan mereka lari meninggalkan Rasulullah pada saat-saat genting tersebut, hingga Nabi terpaksa memanggil mereka kembali dengan kata-katanya yang cukup mengharukan:

“Aku Nabi. Aku tidak berdusta. Aku anak(keturunan) Abdul Mutalib.”

Ada riwayat lain menyebut:

“Aku Rasulullah”.

Tatkala itu, beberapa sahabat kembali mengelilingi Nabi dan meneruskan jihad bersama-samanya.Jumlah mereka dikatakan lebih kurang 100 orang. Akhirnya, kemenangan kembali berpihak kepada kaum Muslimin dan musuh melarikan diri.

Medan Hunain ini telah memberikan pengajaran yang banyak kepada kaum Muslimin.Betapa jumlah mereka yang ramai itu (12000) tidak mampu menghadirkan sebuah kemenangan. Ada di kalangan mereka yang berasa megah dengan bilangan yang ramai, ada pula muallaf yang masih menyimpan rasa benci terhadap Islam dan ikut berperang dengan jiwa terpaksa. Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 25-26 yang bermaksud:

‰

“25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

26. kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.”

Oleh itu, kita tidak sepatutnya berasa senang dan lega apabila ahli telah ramai, kerana jika kekuatan roh dan spiritual tidak ada, kita sebenarnya hanya mengumpulkan angka-angka kosong yang apabila ditambah mahupun didarab, jumlahnya ialah sifar. Dari sudut yang lain, jangan kita sesekali berasa lemah mahupun gelisah apabila ahli kita sedikit. Pastikan diri kita beriman, kerana di situ akan ada jalan.Bukankah dakwah ini bermula dengan seorang?

“..Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.(2:249)

Read Full Post »